Sunday, 11 January 2015

Yusry Cukup Sempurna Buat Saya


SUDAH tersurat di Luh Mahfuz berhubung soal ajal dan jodoh bagi setiap makhluk ciptaan Allah Yang Maha Esa.

Hakikatnya, tidak pernah tertulis betapa setiap pasangan berumahtangga dijanjikan cahaya mata tanpa sedar ia sebenarnya satu anugerah yang tiada tolok bandingnya.
Kita hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan segala-galanya. Selagi ikatan itu menguntum rasa yang dipanggil cinta, langkah seiringan setiap pasangan tidak akan pernah terhenti hingga ke pintu syurga.
Definisi bahagia itu sendiri hadir dalam bentuk berbeza bagi setiap insan. Mendirikan rumah tangga bersama Yusry Abdul Halim pada tanggal 23 Februari 2012, pengertian bahagia menzahirkan sesuatu rasa yang cukup istimewa buat aktres kesayangan peminat, Lisa Surihani.
“Apabila mampu menjamin kebahagiaan orang yang disayangi, ia membuatkan saya gembira,” tuturnya kepada Sensasi Bintang.
Kesempurnaan Yusry di mata Lisa
Perkahwinan itu sendiri boleh diibaratkan sebagai sebuah unit yang utuh. Berbanding mencari kesilapan rakan segandingan, usaha untuk saling melengkapi dilihat mampu menjamin sebuah pasukan yang sempurna.
Usia perkahwinan mereka yang baru menjangkau tiga tahun juga dianggap masih hijau barangkali, namun keserasian jelas menjadi kunci kebahagiaan Lisa dan suami.
“Bagi saya, Yusry sempurna untuk diri saya. Alhamdulillah, Yusry dan Lisa sentiasa serasi antara satu sama lain,” getusnya yang baru pulang bercuti dari Thailand bersama suami kelmarin.
Kalau nak tahu, sengaja persoalan sebegini ditebak terhadap pemilik nama sebenar Lisa Surihani Mohamed, 29, ini lantaran filem terbaharunya, Suamiku, Encik Perfect 10! bakal menjengah pawagam tempatan pada 22 Januari ini.


Kembali bergandingan bersama aktor berkaliber iaitu Aaron Aziz, Lisa bakal membawakan watak isteri yang sensitif dan beremosi bernama Aleeya Azmeen dalam filem arahan Feroz Kadir yang diadaptasi daripada novel nukilan Syamnuriezmil itu.
Selesa bergandingan bersama Aaron
Cerita Lisa, Aleeya bersikap sedemikian ekoran perubahan hormon gara-gara hamil, selain tidak memiliki kekuatan untuk berdepan serta mengendalikan masalah berbangkit dalam rumah tangga.
“Saya banyak berbincang dengan pengarah (Feroz) mengenai watak Aleeya dan beliau juga banyak membimbing saya untuk menghayati watak itu.
“Seingat saya, penggambaran filem berkenaan dilakukan kira-kira dua tahun lepas di sekitar Lembah Klang dan London.
“Alhamdulillah, sesi penggambaran juga berjalan dengan lancar,” ungkap Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-26 itu.
Lisa juga membayangkan gandingannya bersama Aaron dalam filem Suamiku, Encik Perfect 10! terbitan Astro Shaw dan Global Station itu langsung tidak memiliki persamaan untuk dibandingkan dengan filem Ombak Rindu.
“Dinamik perhubungan dalam kedua-dua karya ini berbeza.
“Saya amat senang bekerjasama dengan Abang Aaron kerana beliau seseorang yang sangat komited dengan kerjanya serta mengamalkan sifat hormat-menghormati dengan semua orang.
“Saya juga gemar bekerjasama dengan Feroz kerana beliau seseorang yang tenang, tidak pernah meninggi suara sementara pendekatan beliau kepada pelakon untuk membawa watak masing-masing diambil dengan amat senang sekali.
“Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan Feroz dalam Mertua vs Menantu 2 dan juga Adamaya,” ungkap teraju utama filem Istanbul Aku Datang itu.
Selain Suamiku, Encik Perfect 10!, jelas Lisa, dia juga bakal terlibat dalam dua lagi filem iaitu Cicakman 3 dan Sinaran yang turut dijangka ditayangkan tahun ini.


Anggap diri sebagai pelajar
Jika dihitung tempoh Lisa menakluk industri seni tempatan, transparensinya dia bukan lagi budak mentah yang menghiasi iklan komersil hampir dua dekad lampau, meskipun resume memukau yang dimiliki Lisa sering dikaburi wajahnya yang keanak-anakan.
“Saya sentiasa menganggap diri sebagai seorang pelajar. Syukur Alhamdulillah, perjalanan kerjaya dan pengalaman amat indah apabila bekerjasama dengan orang yang tidak lokek ilmu dan komited.
“Saya juga cukup menghargai sokongan penyokong-penyokong setia yang sudi membantu menaikkan karier saya,” kata penggemar masakan pedas itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 23 Mac depan.
Teraju utama filem Dendam Orang M4ti itu juga tidak menganggap memiliki latar belakang pendidikan yang tinggi memberikan kelebihan buatnya berupaya tampil lebih matang tidak kira ketika berdepan media mahupun peminat.
“Saya cuma menjadi diri sendiri, itu saja,” katanya yang tidak menolak kemungkinan untuk mencuba nasib menjadi pengarah suatu hari nanti.
Bagi yang tidak mengenali Lisa secara peribadi, anak keempat daripada lima beradik itu turut mengakui, dia seorang yang pemalu sebelum mengenali seseorang.
“Saya seorang yang manja dan berdikari pada masa sama, selain sukakan kanak-kanak.
“Sejak umur lapan tahun lagi saya suka menjaga anak-anak buah,” jelasnya yang meminati kesemua genre filem kecuali seram.
Bagi yang ingin mengetahui perkembangan karier Lisa bolehlah mengikutinya di Instagram @iamlisasurihani, Facebook (Lisa Surihani) dan juga Twitter (@LisaSurihani).

Kosmo online

No comments: