Sunday, 18 January 2015

Jenis Epal Tercemar Disita Di Sarawak



BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan setakat ini telah menyita sebanyak 19,960 biji epal jenis Gala dan Granny Smith bernilai RM82,000 di Kuching dan Sibu, Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata epal keluaran syarikat Bidart Brothers, dari Bakersfield, California, Amerika Syarikat itu dikhuatiri dicemari bakteria "Listeria monocytegenes".

"Di negara ini hanya Sarawak mengimport epal dari syarikat itu dan tiada kes penyakit listeriosis dikesan setakat ini," katanya ketika menghadiri kenduri doa selamat untuk mangsa ribut di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha proaktif memantau penjualan epal jenis berkenaan akan diteruskan sehingga isu itu selesai sepenuhnya.

Beliau menasihati orang ramai yang termakan epal berkenaan supaya segera membuat pemeriksaan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Hilmi, yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau, berkata antara tanda awal gejala serangan penyakit bawaan makanan itu ialah sakit kepala, muntah, demam dan kekejangan pada leher.

"Masyarakat diminta jangan panik kerana bukan semua epal bahaya hanya epal dari syarikat itu sahaja dikhuatiri tercemar," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dilaporkan telah menyekat kemasukan epal jenis Gala dan Granny Smith dari Amerika Syarikat ke Malaysia kerana dipercayai tercemar oleh bakteria Listeriosis.

Awani

No comments: