Wednesday, 7 January 2015

Hanis Tidak Kisah Apa Orang Nak Kata


KEMERIAHAN Konsert Akhir Gegar Vaganza yang berlangsung di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, malam Ahad lalu turut dikejutkan dengan lamaran secara langsung oleh pelakon Hairul Azreen terhadap Hanis Zalikha.


Menerusi program yang turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria itu, Hairul, 27, muncul di pentas Gegar Vaganza menyertai barisan penari lain membuat persembahan bersama kumpulan Kristal menerusi lagu Marry Me, nyanyian asal Bruno Mars.

Kemudian pengacara program tersebut, Nabil Ahmad dan Jehan Muse menjemput Hanis naik ke pentas dan Hairul menyampaikan hasrat yang juga telah direstui oleh kedua ibu bapa Hanis sendiri.

Namun di sebalik lamaran yang disifatkan romantis dan berani itu, pasangan muda ini turut menerima kritikan pedas daripada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan idea Hairul untuk melamar Hanis di pentas yang mengimbau dan mengangkat kembali penyanyi-penyanyi lama.

Bagaimanapun bagi tuan empunya badan sendiri, Hanis, 24, merasakan mereka tidak dapat memuaskan hati semua orang dalam satu masa.

"Apa yang saya tahu, Hairul sudah lama merancang untuk melamar saya, tapi bukanlah dilakukan di atas pentas apatah lagi secara langsung. Cuma ia dilakukan atas permintaan Astro.

"Bagi saya keberanian Hairul melamar saya di depan orang ramai dan niat yang cuba disampaikan kepada saya, saya rasai dan ia sampai kepada saya. Ia adalah salah satu bukti Hairul serius dengan saya dan saya rasa tak ramai lelaki yang boleh buat apa yang Hairul buat.
"Tapi kalau ada yang tidak suka atau kritik, saya tak boleh nak buat apa-apa. Mereka juga apa pendapat mereka yang tersendiri," ujarnya.


Rasa bertuah

Dalam masa sama, Hanis turut menjelaskan dia bukan terpaksa menerima Hairul demi menjaga maruah lelaki itu, sebaliknya dia terlalu gugup untuk memberi jawapan pada malam tersebut.

"Sebelum ini kami memang berkawan baik, namun hubungan itu mula rapat sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Namun kami tidak pernah berbincang mengenai perihal perkahwinan secara rasmi.

"Jadi bila Hairul lamar saya malam itu, tentulah saya tergamam, terkejut. Namun sebenarnya saya sangat gembira, rasa beruntung dan bersyukur. Sebenarnya kalau ada yang perasan, ketika menjawab kali pertama, saya dah hulurkan tangan saya.

"Apa pun saya turut bersyukur kerana ia mendapat restu keluarga, malah ramai yang tumpang gembira dengan khabar baru ini," katanya.

Tidak kisah untuk mendirikan pada usia yang muda, Hanis berkata, dia menyerahkan segala urusan rancangan perkahwinan kepada Hairul.

Dalam perkembangan lain, Hanis berkata, dia kini dalam proses menghabiskan penggambaran drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa, yang bakal ditayangkan di Mustika HD.

Selain itu, turut sibuk dengan rancangan Raikan Cinta.

-SinarHarian

No comments: