Thursday, 25 December 2014

MH17-Akhbar Rusia Dakwa Jet Pejuang Ukraine Terlibat


MOSCOW – Jawatankuasa Siasatan Rusia menyiasat laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa bahawa sebuah jet tentera Ukraine menembak jatuh pesawat penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di timur negara berkenaan pada musim panas lalu.
“Beberapa penyiasat me­ngambil keterangan ketua editor dan wartawan akhbar Komsomolskaya Pravda dan mengambil maklumat rakyat Ukraine yang dipetik dalam laporan itu,” kata jurucakap jawatankuasa berkenaan, Vla­dimir Markin.
Menurutnya, saksi itu akan disoal sebagai sebahagian siasatan Rusia berhubung penggunaan senjata dan kaedah peperangan yang diharamkan di Ukraine.
“Maklumat yang diperoleh akan diteliti,” tambahnya.
Saksi tersebut yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu Komsomolskaya Pravda bahawa seorang juruterbang jet su-25 milik Ukraine bertanggungjawab me­nembak jatuh Penerbangan MH17 pada 17 Julai lepas.
Dia mendakwa ju­ru­terbang itu menggunakan peluru ber­pandu udara ke udara untuk menembak pe­sawat Boeing 777 tersebut yang menurutnya, di­sangka sebuah pesawat tentera.
“Sekitar satu jam sebelum tragedi itu berlaku, tiga jet pejuang berlepas dari Dnepropetrovsk. Sebuah jet ber­kenaan adalah jenis Su-25 yang dilengkapi peluru berpandu udara ke udara,” kata saksi itu dalam satu wawancara de­ngan Komsomolskaya Pravda.
Menurutnya, dia berada di lapangan terbang tempat jet-jet berkenaan berlepas pada masa itu.
Kata saksi, seorang juruterbang tersebut kelihatan amat pucat selepas kembali ke Dnepropetrovsk.
“Perkataan pertamanya ialah Salah pesawat,” kata saksi tersebut.
Pada petang hari yang sama juruterbang itu dilaporkan berkata: “Pesawat berkenaan berada di tempat yang salah pada masa yang salah.”
Walaupun akhbar ber­kenaan tidak dapat mengesahkan dakwaan saksi itu, sebahagian pem­bacanya mendapati juru­terbang terbabit iaitu Vladislav Voloshin benar-benar wujud.
Dia mendapat pingat keberanian kerana peranannya membantu operasi antipengganas di timur Ukraine.– Agensi

No comments: