Saturday, 27 December 2014

Mangsa Banjir Meningkat - Kelantan Kritikal


Jumlah mangsa banjir di 7 negeri kini mencecah 119,087 orang dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 45,467 orang setakat petang ini. 
Di Kelantan, limpahan air Sungai Kelantan menyebabkan jumlah mangsa di Kota Baru naik mendadak iaitu seramai 13,388 orang kepada 14,586 orang petang ini berbanding 1,198 orang pagi tadi.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata limpahan air sungai itu merebak ke beberapa kampung berhampiran termasuk Kampung Lembah Sireh, Kampung Pintu Geng, Kampung Kedai Buloh, Kampung Banggol, dan kawasan sekitar Pengkalan Chepa.
Kecuali di Pasir Mas yang menunjukkan sedikit penurunan dengan jumlah mangsa kini mencecah 6,319 orang, beberapa kawasan lain kebanyakannya tidak berubah termasuk di Tanah Merah (3,546 orang), Gua Musang (5,150 orang), Tumpat (5,005 orang), Machang (4,039 orang), Jeli (1,430 orang), Kuala Krai (5,200 orang) dan Pasir Puteh (192 orang). 
Di Terengganu, jumlah mangsa terus meningkat kepada 34,884 petang ini berbanding 31,001 pada tengah hari. 
Daerah Kemaman mencatat tambahan mangsa kepada 25,090 orang daripada 21,381 yang ditempatkan di 46 pusat penempatan, demikian menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu. 
Daerah Dungun turut menunjukkan peningkatan menjadikan jumlah mangsa 8,197 orang manakala Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,369 orang dan Hulu Terengganu (228 orang). 
Bagaimanapun menurut portal itu, bandar Kuala Terengganu masih dapat dihubungkan dengan Kuantan melalui beberapa lencongan dan jalan alternatif walaupun beberapa jalan utama masih dinaiki air dan hanya dibuka kepada kenderaan berat.
"Bagi pengguna jalan raya yang hendak ke Kuantan dari Kuala Terengganu menggunakan jalan pesisir, mereka disaran melalui persimpangan Jalan Che Lijah di Dungun dan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) Tol Dungun.
"Dari LPT2 Tol Dungun itu, pengguna boleh melaluinya sehingga susur keluar Tol Paka berikutan kawasan sekitar di Air Hitam sehingga Kampung Nyior di Dungun dinaiki air," menurut laporan itu. 
MKN berkata pengguna jalan raya akan menggunakan kembali sebahagian laluan pantai di Kemaman sebelum sekali lagi masuk ke LPT2 susur keluar Tol Kijal untuk dihubungkan ke LPT1 ataupun Kuantan, manakala petang ini LPT Bukit Besi-Ajil dibuka semula kepada semua kenderaan. 
Keadaan di Pahang pula menyaksikan jumlah mangsa berkurangan kepada 32,380 orang berbanding 35,736 pada tengah hari.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, jumlah mangsa di Kuantan kini (16,691 orang), Jerantut (4,728 orang), Pekan (2,281 orang), Temerloh (2,823 orang), Maran (2,818 orang), Lipis (2,697 orang), Bera (310 orang) dan Rompin (32 orang).
Di Johor, jumlah mangsa meningkat kepada 537 orang daripada 130 keluarga di 10 pusat pemindahan berbanding 214 orang pada tengah hari.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Johor, Datuk Ismail Karim berkata sehingga 5 petang, daerah yang terjejas melibatkan Kluang, Batu Pahat, Kulaijaya Segamat dan Muar. 
Katanya 6 pusat pemindahan di buka di Kluang dan masing-masing satu di Batu Pahat, Kulaijaya, Segamat dan Muar. 
Di Kedah, jumlah mangsa semakin berkurangan setelah banjir di dua daerah iaitu Padang Terap dan Bandar Baharu semakin surut dengan tinggal 28 mangsa berbanding 96 orang tengah hari tadi.
Di Perlis, angka mangsa turut berkurangan kepada 209 orang setelah 54 orang dibenarkan pulang sehingga pukul 5 petang ini.
Di Perak, jumlah mangsa kekal 6,119 orang dengan daerah Kuala Kangsar merekod jumlah 2,579 mangsa di 50 pusat pemindahan, menurut jurucakap MKN Negeri Perak. – Bernama

No comments: