Sunday, 21 December 2014

Beliau Percaya Duit Itu Raja - Tun M


Kerajaan melakukan kesalahan besar dengan memberikan bantuan wang tunai secara "one-off" kepada penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk membantu mengurangkan bebanan peningkatan kos sara hidup mereka, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir berkata, beliau pernah menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya menghentikan program berkenaan dengan mengatakan ia adalah langkah yang silap, namun Najib masih berdegil dan meneruskan pemberian wang tunai itu.


"Daripada kita memberikan wang tunai, lebih baik kita berikan latihan dan kemahiran. Saya sudah kata kepada Najib tetapi beliau percaya 'duit itu raja' dan boleh mendapatkan sokongan," kata Dr Mahathir, ketika menjawab pertanyaan daripada peserta dalam Program Kepimpinan Belia di Kuala Lumpur hari ini.


Bekas perdana menteri yang pernah bekhidmat selama 22 tahun itu berkata, di bawah Dasar Ekonomi Baru, komuniti Melayu diberikan tempoh 20 tahun untuk mencapai status 30% pegangan ekonomi Bumiputera, namun gagal.
"Tempohnya dilanjutkan namun tetapi kita masih gagal mencapai sasaran," katanya.
Komuniti Melayu katanya harus sedar, "tongkat" tidak akan diberi selama-lamanya.
"Selepas beberapa lama kita perlu buang tongkat itu. Tetapi sesetengahnya beranggapan tongkat itu adalah hak mereka, dan itu tidak benar sama sekali," katanya lagi.
Dr Mahathir sejak akhir-akhir ini dilihat seringkali mengkritik Najib.
Antara isu yang dibangkitkan adalah kontroversi tadbir urus kewangan syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau merupakan pengkritik utama yang menuntut Putrajaya menjelaskan manfaat 1MDB untuk rakyat Malaysia memandangkan syarikat itu mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM38 bilion bagi tempoh lima tahun operasinya.
Dr Mahathir turut mengkritik Najib dan kepimpinan utama Umno berhubung gagal mnyebut berkenaan kontroversi 1MDB, sekurang-kurangnya ketika perhimpunan agung Umno bulan lalu.
"Semua orang salahkan saya. Termasuk yang baik. Kalau yang baik saya terima, kalau tidak saya nafikan," katanya.
Beliau berkata, suara tidak puas hati wujud sekian lama dalam parti namun tiada kekuatan untuk dikeluarkan, tetapi apabila melihat beliau menyatakan secara terbuka, keberanian mula timbul untuk membangkitkan isu berkenaan Umno dan Putrajaya.
"Benda dah lama, tapi mungkin mereka tidak berani sebelum ini. Tapi selepas melihat saya, mereka cukup berani," katanya.
Khairuddin Abu Hassan, yang merupakan pemimpin Umno Batu Kawan membuat laporan polis berhubung 1MDB di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 12 Disember lalu.
Beliau membangkitkan berlaku kecurigaan terhadap pengurusan kewangan yang tidak telus oleh 1MDB.
Dr Mahathir berkata, tidak penting untuk jawatan seseorang itu, apa yang lebih penting adalah mereka mulai bersuara.
"Saya dengar banyak, di luar sana yang tidak puas hati dengan kepimpinan sekarang." theMalaysianInsider



No comments: