Saturday, 8 November 2014

Yusof tegur Wardina Kurang Matang Dalam Isu Buli




PETALING JAYA: Presiden, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Yusof Haslam menyifatkan kenyataan aktres Wardina Safiyyah menyalahkan filem-filem gengster tempatan sebagai punca terjadinya kes buli melibatkan pelajar sekolah di negara ini merupakan pendapat yang tidak matang.


Yusof berkata, sepatutnya sebagai seorang yang berpelajaran seperti Wardina, dia perlu berfikiran luas dan tidak menuding jari pada satu pihak tanpa mengkaji dahulu punca-punca gejala sosial itu berlaku.

"Saya tidak setuju dengan kenyataannya itu kerana ia lebih berunsur emosi tanpa berfikir secara matang. Dia melihat pada skop di satu pihak sahaja.

"Kita juga sedia maklum, masalah gejala sosial ini sudah lama berlaku dan secara logiknya, adakah patut filem tempatan kita dipersalahkan?

"Bukankah banyak lagi akses lain yang lebih mudah terutamanya menerusi Internet untuk golongan remaja zaman kini untuk menonton video-video yang tidak sepatutnya?," soalnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Wardina Safiyyah

Wardina menerusi laman Facebook miliknya pada Khamis meminta agar penerbit filem-filem berunsur gengster supaya bertanggungjawab terhadap kes buli melibatkan pelajar sekolah yang semakin berleluasa di negara ini.

Wardina berkata, kebanyakan filem gengster yang ditayangkan memberi inspirasi kepada penonton untuk melakukan tindakan ganas sama seperti pelakon-pelakon popular di layar lebar.

Sementara itu. Yusof berkata, kenyataan Wardina itu dapat menjejaskan lagi industri perfileman negara yang sememangnya sedang 'nazak'.

"Kenyataan dia ternyata telah mengguris kebanyakan penggiat filem negara ini. Kalau orang negara luar tahu tentang isu yang timbul ini, mereka akan gelak, buat malu orang Malaysia saja.

"Ini kerana secara logiknya, filem-filem ganas tidak ada nilai untuk ditiru aksinya berbanding video-video di internet, di mana kanak-kanak pun boleh buka dan menontonnya jika tiada kawalan daripada ibu bapa," tegasnya.

Pada awal minggu lalu, tersebar sebuah klip video kes buli yang telah menjadi viral di Facebook.

Klip video selama lima minit itu dirakam di asrama dan dipercayai berlaku di sekolah berasrama penuh, menunjukkan sekumpulan pelajar lelaki sedang dipukul oleh rakan sekolah mereka.

Selepas itu muncul pula video seorang remaja dipukul rakan-rakannya sehingga cedera.mstar 



                              Pelakon Filem Wanita Terbaik ASK 2014
                              Penyampai Sinar FM Nyaris Jadi Mangsa

No comments: