Saturday, 22 November 2014

[PUISI] PERMATA MALAYSIA

Permata Malaysia
Atur langkahmu agar tidak goyah
Terus mencari sinar pasti
Ke ufuk mana sekalipun
Kan temui jayanya

Permata Malaysia
Usah peduli sengketa di jiwa
Diusik panorama asing tajam meruncing
Tusuk-menusuk mata tanpa iman
Gahkan diri ayuh segera
Genggam kembali pusaka bangsa

Permata Malaysia
Usah alpa
Rakus mengejar darjat
Lalu meratah jiwa insan
Kerana kau juga mereka
Milik yang Maha Kuasa

Permata Malaysia
Hayun langkah gagahmu
Capai impian bukan angan-angan!
Lantas dirimu tak ditindas
Oleh manusia yang mengaku sempurna
Kerana kau juga seperti mereka
Milik yang Maha Kuasa

Hiruplah pengajaran silam
Biar dirimu mengerti arus kehidupan
Bukan seperti moyangmu!
Berpecah jadi musuh saudara sendiri

Buat wira merdeka jadilah pewangi 
sejarah nusa
Buat pengkhianat jadilah debu yang berterbangan
Dibawa angin penyesalan
Hilang dari cermin kehidupan

Permata Malaysia
Dirimu bertuah telah hadir anak Malaysia
Membuka keamanan dan kesejahteraan
buat dirimu
Sedarlah keturunanmu bukan pengecut
Tapi PEJUANG watan tercinta
Bersama percikan darah suci mulia

Permata Malaysia
Ingat-ingat dirimu di mana
Di mana?
Dirimu siapa?


Sajak yang saya cipta 15 tahun yang lepas semasa di tingkatan enam. Kenangan yang cukup indah hadir semula apabila saya menyiarnya di blog ini.

No comments: