Tuesday, 11 November 2014

Mh17 : Kami Tidak Akan Lupakan Kamu


AMSTERDAM: Belanda hari ini mengadakan majlis memperingati 298 orang yang terkorban apabila pesawat Penerbangan Malaysia MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, Julai lalu.
"Apakah jika percutian bermula sehari kemudian? Apakah jika pesawat itu terlewat? Apakah jika saya bangun dan menyedari itu semua sekadar mimpi?" kata Perdana Menteri, Mark Rutte pada majlis berkenaan di sini yang dihadiri lebih 1,600 orang.
"Tapi jika itu tiada? Hanya kebenaran yang menyakitkan apabila 298 orang mati," katanya pada majlis yang turut dihadiri Raja Willem Alexander dan Ratu Maxima. Pada majlis itu sebanyak 298 lilin bersaiz besar dinyalakan sebagai memperingati mangsa, majoritinya ialah rakyat Belanda.
"Mereka tidak akan dilupakan, kenangan indah dan kemesraan yang menyentuh perasaan kekal selama-lamanya," kata Rutte sambil bendera separuh tiang dikibarkan di seluruh Belanda.
Kebanyakan yang terkorban dalam pesawat itu adalah kanak-kanak, baru memulakan percutian musim panas ketika menaiki kapal terbang dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur.
Suasana sedih menyelubungi majlis apabila rakan sekolah mereka meletakkan bunga di antara lilin-lilin berkenaan.
Anton Kotte yang kehilangan tiga ahli keluarga dalam nahas itu termasuk anak lelakinya berkata, saat yang dilalui selepas tragedi itu umpama menaiki kereta api yang tidak pernah berhenti dan berakhir dengan kematian.
"Kami tidak mengenali antara satu sama lain tapi kami adalah kawan dalam malapetaka ini dan kami melihat di luar tingkap," kata Kotte.
"Hari ini kereta api ini berhenti di Amsterdam. Kami dapat satu lagi peluang untuk menunjukkan simpati. Kami pakai lilitan putih di lengan yang tertulis 'Kami tidak akan melupakan kamu," katanya.Bharian

No comments: