Tuesday, 7 October 2014

Selamat Hari Lahir ke 34 Kiprawi Bakeri!!!



Assalamualaikum dan Salam muhibbah, 7 Oktober datang lagi maka bertambah setahun lagi umur ini. Suspen juga bila baca tajuk entri ini kan? Sebenarnya tarikh ini saya kongsi dengan arwah abang kembar saya Kiprawi yang kembali ke rahmatullah April 2006.



Setelah semalaman dikurniakan sakit kepala barulah saya sedar rupanya saya sudah tua setahun lagi. Baru sedar diri? Entah kenapa air mata ini tiba-tiba mengalir melihat isteri duduk di sisi menunggu untuk mengucapkan selamat hari lahir. Dia tak mahu ganggu malam tadi sebab saya masih sakit.


TENTANG KEHIDUPAN


Saya sebenarnya kadang-kadang lupa hari lahir. Mungkin kurang penting dan tidak berminat nak ingat. Sepanjang 34 tahun menduduki alam ciptaan Allah ini, entah berapa kali saya menghargai kehidupan yang sementara ini. Keseronokan dunia ini bukan selama-lamanya, itu yang selalu dibisik oleh Sang Hati. Akhirat yang kekal abadi.

Pada 2005, saya disatukan dengan cinta hati saya dan sekarang dikurniakan dengan 3 orang cahayamata. Semua ini mula mengajar saya bersyukur dan menghargai kehidupan. Tipulah kalau kawan-kawan tidak penting sebab merekalah selalu berada di sisi telefon@ facebook bila saya memerlukan nasihat mereka. Terima kasih sahabat-sahabatku dunia dan akhirat. Ini lahir ikhlas dari sanubariku. Maafkan jika ada yang pernah disakiti.




TENTANG KEMATIAN


Ya Allah, semakin bertambah usia, semakin dekat rasanya aku kepadamu.


Beberapa tahun ini, kematian itu satu perkara yang menyedarkan saya tentang amalan untuk bekalan. Cukup atau tidak?

Sebenarnya mati itu pasti dan jangan sesekali gusar untuk menghadapinya. Memang betul ramai yang takut mati atas sebab macam-macam. Tapi, kalau noktahnya di situ? Semenjak arwah abang pergi, saya terfikir macam mana pula dengan saya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk hambaNya.




PENGAKHIRAN


Lesen memandu tamat tempoh hari ini antara sebab saya ingat hari lahir hari ini. Terima kasih untuk yang mendoakan saya dan semoga Allah merahmati kita semua. AMIN...YA RABBAL ALAMIN.



No comments: