Thursday, 23 October 2014

Kitab Syamail Muhammadiyah cetus kecintaan terhadap Rasulullah

Kitab Syamail Muhammadiyah cetus kecintaan terhadap Rasulullah

Alhamdulillah kerana mengurniakan ilham mencurah-curah. Namun, apakan daya masa terlalu padat dengan aktiviti duniawi dan sering bertemuduga dengan Yang Maha Esa. Maka, seringkali saya cuba mencuri waktu selepas solat subuh untuk mengolah idea.

Sempena awal Muharram yang bakal tiba beberapa hari lagi, saya nak berkongsi tentang kitab Syamail Muhammadiyah karangan Imam Tirmizi rahimahullah. Saya beli kitab ini semasa berkunjung ke Sibu beberapa tahun lepas.


Hasil cetakan ketiga keluaran PTS Islamika Sdn. Bhd. mempunyai 388 mukasurat. Kitab ini sememangnya harus dimiliki oleh setiap orang Islam. Di dalamnya terkandung 399 hadis yang menggambarkan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud ;

" Katakanlah,' Jika kamu cinta kepada Allah, maka ikutilah aku (Muhammad), pasti Allah menyintaimu dan Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan)  Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).                                                          Al-Ahzab ayat 21


Kitab ini terkandung 56 bab yang menumpukan kepada lima aspek iaitu fizikal, perilaku, ibadah, hubungan sosial dan akhlak serta kehidupan baginda. 

Saya yakin buku ini mampu mendetikkan rasa cinta anda kepada Rasulullah. Ada satu kisah yang menceritakan tentang seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah.

Arab Badwi itu bertanya," Bila kiamat Ya Rasulullah?" Nabi bertanya kembali kepada Arab Badwi itu," Apakah persediaan kamu menghadapinya?"

"Aku menyediakan hati yang sangat menyintai engkau, Ya Rasulullah." Jawab Arab Badwi itu. Lalu balas Baginda," Orang akan bersama-sama orang yang dicintainya di akhirat." Betapa gembiranya para sahabat yang hadir mendengar hal tersebut. Hanya dengan mencintai Rasulullah akan mendapat syurga.

Saya rasa cukuplah setakat ini untuk pengenalan kitab ini. Anda kenalah beli untuk menghayati isi kandungannya. Harganya sekitar RM38 sahaja. Murahkan? Carilah buku ini kerana manfaatnya sangat besar. Semoga Allah memberkati saya dan anda atas perkongsian ini.

Sempena tahun baru Hijrah, Muharram ini kembalilah kepada fitrah. Mulakan langkah mencintai Rasulullah, semoga Allah membalas cinta anda itu. Basahkan lidah anda dengan selawat. 

Nabi bersabda ," sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak selawat kepadaku". Wallahua'lam




Artikel Berkaitan 



Lazada MalaysiaLazada MalaysiaLazada Malaysia






No comments: