Tuesday, 28 October 2014

Jadilah seorang pembantu jualan yang terbaik!!

Jadilah seorang pembantu jualan yang terbaik!!
gambar hiasan

Tergerak hati nak membuat entri tentang kerjaya sebagai pembantu jualan atau sales assistant/shop assistant. Kerjaya sebagai pembantu jualan amat diperlukan sama ada secara full time atau part time. Tinggal beberapa minggu saja lagi cuti sekolah akhir tahun akan bermula dan ada remaja-remaja yang  mengambil kesempatan untuk bekerja secara sambilan.

Pelajar lepasan tingkatan 5 dan 6 adalah kelompok teramai yang akan mencari kerja sementara mereka menunggu keputusan untuk menyambung pelajaran. Bagi saya ini merupakan perkara biasa asalkan mereka tidak terjebak ke dalam gejala-gejala yang tidak sihat. Inilah pengalaman pertama bagi yang pertama kali bekerja untuk merasai wang hasil titik peluh sendiri.

Pengalaman bekerja akan membiasakan mereka dengan masyarakat. Pekerjaan sebagai pembantu jualan sama ada di pasaraya, kedai buku atau kedai runcit, perkara yang paling penting ialah pelanggan. Tanpa pelanggan, tiada jualan. Tiada jualan, tiada pendapatan. Pelanggan merupakan nyawa kepada sesebuah premis jualan. Oleh itu, bekerja sebagai seorang pembantu jualan bukanlah semudah yang disangka.

Saya telah berhadapan dengan pelbagai karenah pembantu jualan sepanjang menjadi penyelia di sebuah pasaraya. Masalah paling asas yang diadukan oleh pelanggan ialah kurang senyum. Terus terang saya katakan bahawa senyuman merupakan satu tarikan utama apabila pelanggan masuk ke sesebuah premis jualan. Kalau muka asyik masam memanjang, orang nak masuk pun tak senang. Anda akan hilang satu pelanggan di sana. Sekiranya pelanggan itu membesar-besarkan isu sampai ke media sosial?

Don't judge a book by its cover

Bahasa tubuh dan mata juga penting. Jangan sesekali menjeling pelanggan atau berpeluk tubuh. Anda sendiri pun tidak selesa jika ada mata yang menjeling anda,kan? Pelanggan yang datang sudah memasang niat untuk membeli dan mencari sesuatu. Tugas anda ialah membantu mereka. "Dia ingat saya tak ada duit?!" Itulah kata-kata yang biasa saya dengar dari pelanggan.

Apabila pelanggan meminta carikan sesuatu, jangan terus memberikan jawapan seperti sudah habis, tak ada lagi atau tidak tahu kerana ini akan mengecewakan pelanggan. Tidak salah jika anda berpura-pura mencari stok walaupun tahu stok sudah habis kerana ini akan memberikan pandangan positif kepada pelanggan. Pelanggan anda akan berfikir bahawa anda ada usaha untuk membantu dia. Sudah tentu dia akan kembali mencari anda.

Jangan malas melayan pelanggan. Tunjukkan kerajinan anda.

Peluang anda membina jalinan persahabatan. Kemesraan anda dengan pelanggan akan memupuk satu ikatan antara pembeli dan penjual. Ini pengalaman sangat baik jika anda terfikir untuk berniaga sendiri suatu hari nanti.

Kita mungkin tidak tahu latar belakang pelanggan maka jagalah budi bahasa. Saya pernah bertemu beberapa orang penting dari sektor korporat yang datang membeli belah. Mereka berpakaian cukup sederhana dan anda mungkin tidak perasan jika tidak mengenali mereka. Pengajaran yang paling penting ialah layan semua pelanggan anda umpama raja.


Customer is always right

Jangan sesekali bertengkar dengan pelanggan. Seperti yang saya katakan tadi mereka boleh jadi pemberi maklumat positif atau negatif kepada masyarakat. Mereka adalah sumber promosi percuma kepada sesebuah perniagaan. Anda sebagai seorang pembantu jualan perlu sedar tentang perkara ini.

Kesimpulannya, kerjaya sebagai pembantu jualan merupakan pekerjaan yang mencabar dan mulia.  Anda membantu dan membina ikatan silaturrahim dengan orang lain. Jika pelanggan yang datang itu seorang pengurus di fima yang besar, mungkin anda akan berpeluang ditawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Oleh itu, jika nak jadi seorang pembantu jualan...JADILAH PEMBANTU JUALAN YANG TERBAIK!!





                        





No comments: