Monday, 20 October 2014

Dilema Bahasa Inggeris menjadi keutamaan ke universiti

Dilema Bahasa Inggeris menjadi keutamaan ke universiti
Termaktubnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut sama meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar kedua negara. 

Sungguhpun begitu, kelemahan dalam penguasaan bahasa Inggeris masih nampak ketara terutama bagi bumiputera. Tidak hanya pada pertuturan malah turut meliputi aspek penulisan dan pemahaman.

Usaha-usaha telah digerakkan oleh kementerian termasuk menambah jumlah guru bahasa Inggeris, menambah waktu pembelajaran subjek bahasa Inggeris, memperkenalkan sistem baru di peringkat awal persekolahan dan mewujudkan beberapa Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPMG) Bahasa Inggeris khusus bagi guru-guru bahasa Inggeris.

Kini, kerajaan memikirkan peri pentingnya meningkatkan kualiti graduan universiti apabila syarat MUET untuk kemasukan ke universiti awam telah dikaji semula.

Kita soroti artikel yang diterbitkan oleh akhbar Harian Metro berkaitan isu Malaysian University English Test (MUET);


Apabila kenaikan penarafan Band Malaysia University English Test (MUET) dibentangkan dalam Bajet 15, baru-baru ini, pelbagai pihak memberikan reaksi berbeza.
Ada menyambut baik usaha itu dengan alasan sudah tiba masanya pelajar kita mempunyai standard pencapaian bahasa Inggeris yang selari dengan nilai komersial.
Namun ada pihak berpendapat kenaikan penarafan itu bakal memberi kesan kepada jumlah kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana bukan semua mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
Pro dan kontra dalam polemik ini mewujudkan dilema dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang melihat pelajar kita masih belum mampu mencapai nilai kompeten sebenar.
Adakah syarat baru itu akan menjejaskan peluang mereka bergelar warga institusi pengajian tinggi?
Atau pembaharuan itu bermakna kita di landasan tepat bagi menjadikan bakal graduan kita lebih bernilai di pasaran?
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Raja Nor Safinas Raja Harun mengakui syarat baru bagi kenaikan penarafan MUET itu akan menjejaskan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke IPTA.
Kompetitif
Bagaimanapun, katanya itu hanya membabitkan fasa awal tetapi apabila mereka sudah bersedia, masalah itu bukan menjadi satu isu lagi.
Beliau berkata, masalah itu hanya akan timbul jika mereka memperoleh Band 1 dalam MUET untuk kemasukan yang membabitkan sains sosial sebelum ini.
"Tapi untuk mereka yang mengikuti sains dan teknologi dengan kemasukan Band 3, undang-undang (Band 4) dan perubatan (Band 5), perubahan syarat ini bukanlah sesuatu yang baru.
"Kebanyakan IPTA terutama Universiti Penyelidikan yang bersifat lebih kompetitif sudah melaksana syarat itu.
"Langkah ini bukan bertujuan menyusahkan golongan terbabit tapi sebaliknya memberi satu standard sama untuk kemasukan mereka ke program di IPTA," katanya.
Menurutnya, meletakkan peningkatan penarafan Band sebagai syarat bergraduasi juga untuk memastikan peningkatan pelajar dalam penguasaan bahasa Inggeris.
"Sebilangan besar pelajar sama ada di peringkat sekolah atau institusi lemah dalam bahasa ini terutamanya pertuturan.
"Namun, kelemahan ini tidak berkaitan dengan taraf ditentukan MUET sebaliknya berpunca daripada kegagalan mereka menguasainya sejak sekolah.
"Faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Malangnya kita kurang usaha menangani masalah ini.
"Sepatutnya, mereka mampu mendapat Band 3 dalam MUET dan bukan Band 1," katanya yang meng­anggap agak mustahil selepas belajar selama 11 tahun di sekolah, pelajar masih gagal menguasai sepenuhnya bahasa itu.
Bagi pelajar aliran sains sosial, mereka mungkin terjejas jika peningkatan daripada MUET Band 1 ke MUET Band 2 dilaksanakan tahun depan.


Penaksiran
"Ini kerana mereka memerlukan masa lebih lama untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
"Tapi, lebih membimbangkan ialah cara penaksiran akan dimudahkan bagi memastikan pelajar mampu memperoleh sekurang-kurangnya Band 2. Ini sudah tentu menjejaskan standard dan kualiti penaksiran itu.
"Satu kajian perlu dibuat untuk melihat berapa ramai jumlah pelajar MUET Band 1 ini di seluruh IPTA sebelum perkara ini dilaksanakan supaya peluang tidak terjejas," katanya.
Mengenai kebimbangan segelintir pihak yang menganggap syarat baru itu akan menyebabkan lebih ramai pelajar luar bandar semakin tercicir, beliau berkata, jika tiada MUET, keciciran dalam kelompok itu memang berlaku.
"Sekurang-kurangnya MUET dapat menjadi penanda aras penguasaan pelajar dan membantu IPTA merancang kursus sesuai dengan kemampuan mereka.
"Dengan adanya MUET, universiti tidak perlu mengadakan peperiksaan tertentu bagi mengukur kemampuan pelajar kerana tahap MUET menentukan kursus bahasa Inggeris yang perlu diambil," katanya.
MUET diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada 2000.
Pada mulanya, calon ke IPTA hanya perlu menduduki peperiksaan itu untuk memperoleh tempat dalam institusi dan pada 2009, ada pihak mencadangkan tahap pencapaian minimum untuk layak masuk universiti.
MUET mengandungi empat komponen iaitu mendengar, lisan, membaca dan menulis manakala pelajar perlu menguasai semua kemahiran ini untuk mendapat Band yang tinggi.
Band 1 penguasaan bahasa yang sangat terhad, Band 2 (terhad), Band 3 (sederhana), Band 4 (memuaskan), Band 5 (baik) dan Band 6 (penguasaan sangat baik).
Kondusif
Band yang diberikan bertujuan menjadi penanda aras untuk mengetahui tahap penguasaan bahasa Inggeris sebenar pelajar.
Beliau berkata, ada pelbagai cara boleh dilakukan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi memerlukan usaha, tenaga, masa, kewangan dan komitmen berterusan.
"Contohnya, galakkan pelajar sekolah terbabit dalam persatuan bahasa Inggeris bagi mewujudkan persekitaran kondusif bagi penggunaan bahasa itu di luar bilik darjah.
"Kita perlu menukar cara berfikir dengan menganggap persatuan bahasa Inggeris di sekolah bukan satu persatuan elit yang hanya dianggotai pelajar mahir bahasa itu.
"Jika kita tidak bermula dari awal, kesannya akan melarat kepada pelajar di peringkat tinggi dan akhirnya merugikan terus golongan itu," katanya.
Namun, beliau kurang bersetuju dengan tanggapan, lemahnya penguasaan bahasa Inggeris boleh menyebabkan pelajar sukar mencapai kecemerlangan.
Menurutnya, mereka boleh mencapai cemerlang tapi pada masa sama akan berdepan kesukaran kerana bahasa Inggeris adalah bahasa universal dan diguna pakai di peringkat global.
"Sesiapa saja boleh mencapai kecemerlangan andai ada kemahuan dan bahasa Inggeris bukan penentunya.
"Bagaimanapun, dalam dunia yang semakin dikuasai industri yang semakin kompetitif, ia adalah satu bonus dan keperluan utama," katanya.

Kesimpulannya, ibu bapa sekarang perlu lebih proaktif dalam usaha meningkatkan kualiti bahasa Inggeris anak-anak di peringkat awal lagi.

No comments: