Friday, 12 September 2014

Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya

 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,



              Segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai sekalian isi alam ini. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta kaum keluarga dan para sahabat. Berkat kebesaran hari Jumaat, ingin sekali saya hendak berkongsi tentang amalan berdoa dan adab ketika berdoa.

Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya



               Sebelum itu, saya nak kongsi beberapa hadith yang berkait dengan waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat (kredit kepada http://fiqhsyariah.blogspot.com ).

Seorang sahabat, Abdullah bin Salam menceritakan:

" Ketika Nabi sedang duduk,aku berkata kepadanya: Di dalam kitab Allah ada diterangkan bahawa pada hari Jumaat terdapat waktu di mana jika seorang hamba yang mengerjakan solat, kemudian memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah akan makbulkan. Beberapa saat kemudian Rasulullah bersabda kepada ku: Benar. Lalu aku bertanya: Bilakah waktunya itu? Baginda kemudian menjawab: Di penghujung waktu siang hari. Aku berkata: Itu bukan waktu solat. Baginda menjawab: Benar, sesungguhnya jika seorang Mukmin itu menunaikan solat, kemudian ia duduk menantikan solat berikutnya maka ia terhitung sedang mengerjakan solat."
Hadis Riwayat: Ibnu Majah


Abu Said dan Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anha meriwayatkan, bahawa Rasulullah bersabda:

إن في الجمعة ساعة لا يوافقها عبد مسلم يسأل الله عز وجل  فيها خيرا إلا أعطاه إياه وهي بعد العصر

Maksudnya: Pada hari jumaat ada satu waktu yang mana jika seorang Muslim memohon kebaikan daripada Allah tepat pada waktu itu, maka Allah pasti akan memakbulkan Doanya, dan waktu itu bermula selepas solat Asar.
Hadis Riwayat: Ahmad


Jabir r.a juga telah meriwayatkan,bahawa Rasulullah bersabda:


يوم الجمعة اثنتا عشرة ساعة منها ساعة لا يوجد مسلم يسأل الله تعالى شيئا إلا أتاه إياه والتمسوها اخر ساعة بعد العصر

Maksudnya: Waktu siang hari Jumaat mempunyai 12 jam, diantaranya ada satu waktu jika seorang Muslim memohon sesuatu pada waktu itu, pasti Allah akan perkenankan permohonannya itu. Dan carilah waktu pada waktu-waktu akhir setelah Asar.

Hadis riwayat: Nasa'i, Abu Daud, Hakim (Al-Mustadrak) hadis shahih dan mematuhi syarat sahih Imam Muslim. Dalah Fathul Bari Hadis ini Hasan

Sa'id dalam sunannya telah meriwayatkan bahawa para sahabat telah bersepakat bahawa waktu paling mustajab doa pada hari Jumaat ialah ketika waktu-waktu akhir siang hari Jumaat. (Disahihkan oleh Ibnu Hajar dalam Fathul Bari)


Dalam hadis riwayat Muslim dan Abu Daud, Abu Musa r.a mendengar Rasulullah bersabda bahawa waktu yang makbul doa pada hari Jumaat ialah ketika Imam duduk antara 2 Khutbah Jumaat, sehingga selesai solat. (Hadis Mudtharib & Munqathi')

Allah Berjanji Untuk Mengabulkan Doa Orang yang Berdoa.Dibawah ini diberikan beberapa adab berdoa berpandukan al-Quran dan hadis.


Allah berfirman: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” Al Baqarah: 186


Ada beberapa adab dan peraturan yang disunahkan agar mendapat kelebihan dan barakah dari Allah dan supaya doa itu dimakbulkan. Berikut ini diberikan beberapa panduan menurut Al-Quran dan sunnah.

Berdoalah dengan suara yang lembut
Doa adalah ditujukan kepada Allah yang Maha Mendengar. Apa sahaja doa kita akan didengari Allah. Oleh yang demikian tak perlulah kita mengeraskan suara kerana Allah dekat dengan hambaNya lebih dekat dari mata hitam dengan mata putih.

Berdoa dengan penuh yakin
Hendaklah berdoa dengan penuh yakin bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Dari Anas r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. bersabda”: “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah: “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.” H.R. Anas r.a.

Memohon Sebanyak Tiga Kali
Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa Abdullah Bin Mas’ud berkata: Baginda Rasulullah s.a.w. jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon baginda memohon sebanyak tiga kali. (H.R Bukhari dan Muslim)

Bersalawat Kepada Nabi s.a.w
Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.


Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya
Menghadap qiblat
Dari Abdullah Bin Mas’ud r.a., katanya: Nabi Muhammad s.a.w. menghadap ke Ka’bah, lalu beliau berdoa mengutuk beberapa orang dari golongan Quraisy. H.R. Bukhari dan Muslim


Mengangkat Kedua-dua Belah Tangan Sambil Berdoa
Abdullah Bin Omar (ra) berkata: Nabi Muhammad SAW. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu baginda berdoa: Ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang dilakukan oleh Khalid (dua kali). (Diriwayatkan oleh Al Bukhari)

Dalam hadis lain, berkata Abu Musa: Kemudian baginda Rasul s.a.w. mengangkat kedua-dua tangannya, lalu beliau berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Bin ‘Amir, dan aku melihat keputihan ketiak baginda. (HR Imam Bukhari)

Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya
Berwudhu’ Sebelum Berdoa
Berkata Abu Musa (ra): Sebelum ‘Ubaid Abu ‘Amir meninggal dunia, dia telah berpesan kepada aku agar aku menyampaikan salamnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan memohon doanya agar Allah mengampuni dosa-dosanya. Ketika pesanan tersebut aku sampaikan kepada baginda Rasul s.a.w. lalu baginda menyuruhku agar mengambil sebekas air untuknya. Kemudian beliau berwudhu’ dan mengangkatkan kedua-dua tangannya sambil berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir; dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa ‘Ubaid Abi ‘Amir dan aku melihat keputihan ketiak baginda. Baginda seterusnya berdoa): Ya Allah, jadikanlah dia pada Hari Kiamat sebagai orang yang mulia mengatasi kebanyakan makhluk-Mu. Lalu akupun berkata: Mohon ampunan jugalah untuk aku ya Rasulullah. Kemudian baginda berdoa: Ya Allah, ampunilah dosa dosa Abdullah Bin Qais (Abu Musa), dan masukkanlah dia ke dalam tempat masuk yang mulia pada Hari Kiamat. (HR Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya
Berdoa Sambil Menangis
Dari Abdullah Bin ‘Amr Bin Al ‘Ash r.a, bahawa Nabi Muhammad s.a.w. membaca ucapan Nabi Isa a.s.: Ertinya: “Sekiranya Engkau seksakan mereka sesungguhnya mereka adalah hamba hamba-Mu, dan sekiranya Engkau ampuni mereka, sesungguhnya Engkau adalah Maha Mulia lagi Maha Bijaksana”. (Al Maidah: 11)


Lalu Rasul s.a.w. menganqkat kedua-dua tangannya dan berdoa: “Ya Allah, umatku, umatku “, (sambil baginda menangis). Selanjutnya Allah s.w.t. berfirman kepada Jibril (a.s.): Hai Jibril, pergilah engkau kepada Muhammad, dan katakan kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan meredainya dan umatnya, dan kami tidak akan menyusahkan kamu “. (HR Imam Muslim)

Waktu mustajab berdoa dan adab-adabnya
Berdoa Dengan Merendah Diri
Allah s.w.t. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepada-Nya, antaranya: “Dan (ingatlah kisah) Ayyub, ketika ia menyeru Tuhannya: (“Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang diantara semua penyayang.” (Al Anbiyaa: 83)

“Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik”. (Al Anbiyaa: 89)


Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab
Ada beberapa waktu berdoa yang mustajab menurut hadis dan al-Quran. Antaranya ialah ketika berpuasa, ketika sebelum berbuka, ketika hujan lebat, selepas berzikir dan sebagainya. Doa orang yang teraniaya atau dizalimi juga dimakbulkan, oleh yang demikian, janganlah kita menganiayai sesiapa sahaja.

Allah s.w.t. telah menetapkan beberapa waktu atau masa yang sangat baik jika kita berdoa didalamnya. Waktu waktu itu antara lain: Pada malam Lailatul Qadr, pada dua pertiga malam, setelah solat waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati. tanpa mengeluarkan suara.)

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Do’a yang manakah yang paling didengar (diterima)? Jawab baginda: (Do’a) akhir malam dan setelah solat wajib. H.R. At-Tarmizi – Sahih

Doa Pada Sepertiga Akhir Malam Sangat Makbul. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Allah (Yang Maha Suci Lagi Agung) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam. Dia berfirman: “Barangsiapa mendoa kepada-Ku, akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Kuberi dia. Siapa yang minta ampun, akan Kuampuni dia.” H.R. Bukhari.


Kredit kepada rahsiarezeki.wordpress.com


Artikel Berkaitan 


No comments: